Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), jumlah penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia yang dijangkiti HIV meningkat hampir 24 peratus sejak tiga tahun lalu. Dahulu, kita boleh katakan faktor utama peningkatan penyakit HIV adalah disebabkan aktiviti seks bebas dalam kalangan golongan dewasa dan perkongsian jarum suntikan dalam kelompok penagih dadah.
Namun, kini senario itu berubah. Faktor keruntuhan moral dan seksual kini menjadi bara api yang menyalakan faktor peningkatan kes jangkitan HIV dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi. Pengaruh pornografi, pergaulan bebas, kurang pendidikan seks, dan hubungan luar tabii adalah antara akar-akar yang membuka ruang kepada masalah ini. Seperti yang kita lihat sekarang, kewujudan aktiviti persundalan dari atas talian seperti DS, OnlyF*ns, Wech*t, dan Mich*t melibatkan pelajar IPT.
Ada pelajar IPT memperoleh puluhan ribu ringgit sebulan dengan menjual maruah diri di media sosial. Ada pelajar IPT yang terlibat dengan aktiviti homoseksual bebas dan ada yang terlibat dengan aktiviti zina seawal usia 10 tahun. Ini menjadi antara punca berlakunya peningkatan kes HIV dalam kalangan pelajar universiti. Godaan wang ringgit yang mudah, nafsu jiwa muda, dan keinginan mencuba benda baharu menyebabkan mereka terjerumus kepada perbuatan seks bebas dan kegiatan pelacuran dalam talian.Jawapan dan penyelesaian kepada masalah ini adalah pemerkasaan pendidikan seks dan moral selain pengawalan akses kepada laman sesawang yang menjerumus kepada aktiviti seksual yang tidak sihat. Pendidikan seks yang komprehensif dapat memberikan pengetahuan yang betul mengenai risiko dan cara mencegah penularan HIV. Selain itu, pendidikan moral membantu membentuk nilai-nilai positif dalam kalangan pelajar. Pengawalan akses kepada laman web yang tidak sesuai dapat mengurangkan pengaruh negatif terhadap pelajar.
Akhir sekali, saringan HIV/AIDS,seawal umur 16 tahun yang dicadangkan oleh pakar juga adalah satu kaedah yang sangat bagus untuk mengatasi masalah ini. Dengan saringan awal, mereka yang dijangkiti dapat menerima rawatan lebih awal dan ini dapat mengurangkan risiko penyebaran kepada orang lain. Saringan awal ini juga dapat meningkatkan kesedaran mengenai HIV/AIDS dalam kalangan remaja, sekaligus memupuk sikap bertanggungjawab dalam menjaga kesihatan diri dan orang lain.
Resident Physician
MBBCh Zagazig University,
Cert. MSKUS Pain
Men’s Health Cert (Singapore)
Reference
Farhana Abdul Kadir. (2024, July 22). Peningkatan kes HIV seiring kejatuhan moral anak muda. Sinar Harian.
Ridzuan Abu Hasan. (2024, July 21). Kes HIV di universiti: Bendera merah, turunkan had usia saringan 16 tahun. Sinar Harian.